Kamis, 01 Maret 2018

PANTUN MA'RIFAT


Awal Bismillah mula disebut,
Rahman dan Rahim sifat mengikut,
Dunia akhirat nyatalah luput,
Jalan hakikat pula diturut.
Alhamdulillah pujinya insan,
Rabbil Alamin sifatnya Tuhan,
Selawat Nabi akhirnya zaman,
Muhammad Amin Abi Burrahman.
Jalan takzim pula dikata,
Atas Nabi junjungan kita,
Sahabat yang empat nyatalah serta,
Tiada berhenti sekejap masa.
Jalan hakikat sangat terbilang,
Tiada binasa urat dan tulang,
Daging dan darah tiada hilang,
Kerna sifat dibawa pulang.
Jika sifat sudah binasa,
Kepada Nabi tiada berjumpa,
Segala amalan tiada tiba,
Tiada dapat syurga yang baqa.
Jangan binasa sifatmu tuan,
Tiada berjumpa hamba dan Tuhan,
Hakikat kita tinggal di jalan,
Segala amalan menjadi haiwan.
Jika kita tidak mengkaji,
Kepada Nabi mendapat keji,
Malaikat tiada membawa wahi,
Allah tiada mungkirkan janji.
Mengenal Tuhan tak boleh nyata,
Kerna tak boleh dipandang mata,
Hingga diri jua dicita,
Kenal olehmu sifatnya kita.
Tatkala Adam dengannya Hawa,
Dendam berahi antara berdua,
Nafi dan isbat itulah dia,
Kepada kita menjadi rahasia.
Cari guru mengenal diri,
Yang diamanat olehlah Nabi,
Jangan takut penat dan rugi,
Asalkan dapat ilmu sejati.
Guru mursyid harus dicari,
Itulah ulama pewarisi Nabi,
Jika di situ dia mengajari,
Di situlah tuan menyerah diri.
Wahai sekelian saudaraku,
Mengenal waktu biarlah tentu,
Kalau tak kenal waktu itu,
Akhirnya kamu menyembah batu.
Waktu kita di alam roh,
Berkata Allah kepada nyawa,
Bukankah Aku Tuhanmu segala?
Betullah Engkau Tuhan katanya nyawa.
Jadi olehmu mursyid utama,
Sebenar makrifah boleh dibawa,
Seperti badan dengannya nyawa,
Dunia akhirat bersama-sama.
Hakikat makrifat menyucikan badan,
Air maal hayat yang menjalankan,
Zikrullah yang diasyikkan,
Kurangkan tidur ataupun makan.
Jalan hakikat bukan kepalang,
Jalan disuluh semuanya terang,
Zahir dan batin semuanya lapang,
Kerana Sir yang Empunya pandang.
Wahai saudaraku dengarlah tuan,
Sebenar hidup katakan Tuhan,
Kuntum yang tujuh di situ tersimpan,
Itulah pakaian Wali Sembilan.
Kuatnya tubuh itulah nyawa,
Sekalian yang zahir takluk padanya,
Syurga yang tujuh Dia yang punya,
Kepada kita menjadi rahasia.
Jalan hakikat sangat terpilih,
Hendaklah tahu asalnya benih,
Nafi di dalam hati yang putih,
Makrifat kita barulah jernih.
Sifat makni tidak bersekutu,
Sifat Allah namanya itu,
Tiada boleh bandingkan sesuatu,
Wujud Allah namanya itu.
Tuntutlah ilmu walau di mana,
Amal dan ilmu tiada terhingga,
Amal tanpa ilmu diazab kita,
Di akhirat tiada berguna.
Kejadiannya kita dari air lazat,
Cahayanya seperti kilat,
Tatkala asyik tiada ingat,
Barulah ada junub dan janabat.
Di wadi mani manikam,
Asalnya ia daripada kalam,
Dengan kudrat Tuhan Khaliqul Alam,
Yang menjadikan tubuh anak Adam.
Kalau kita tidak mengkaji,
Kepada Tuhan mendapat keji,
Malaikat tiada membawa wahi,
Allah tiada mungkirkan janji.
Jika tariqat hendak dibawa,
Carikan guru akan petua,
Supaya jangan bertuhankan nyawa,
Hakikat kita tiada derhaka.
Syarat rukunnya sudah ketahui,
Sah batalnya demikian lagi,
Amal diterima Tuhan Ilahi,
Syarat rukunnya sudah ketahui.
Siapa beramal dengan jahalnya,
Tiada tahu sah batalnya,
Amal tiada diterima Tuhannya,
Di dalam neraka kekallah ia.
Wahai sekelian saudaraku,
Mengenal Ka’abah biarlah tentu,
Jika tak kenal Ka’abah itu,
Akhirnya kamu menyembah batu.
Wahai saudara tua dan muda,
Fikirkan olehmu senantiasa,
Janganlah seperti orang yang buta,
Tinggal ilmu mencari harta.
Hidup tiada ingat akan mati,
Bersukaria sepanjang hari,
Hanya harta dapatkan diri,
Tiga lapis kain kafan saja Ia beri.
Jalan hakikat bukan kepalang,
Jalan disuluh semuanya terang,
Jikalau hati syak dan waham,
Cahaya yang terang menjadi kelam.
Wahai sekalian saudara-saudaraku,
Jalan hakikat demikianlah itu,
Jikalau boleh pintalah selalu,
Jangan binasa sifatmu itu.
Hati yang mukmin suci dan ikhlas,
Laksana air di dalam gelas,
Cuci hatimu seperti kapas,
Makrifah kita barulah jelas.
Makrifat itu martabatnya tinggi,
Yang dipakai oleh Sayyidina Ali,
Barangsiapa dapat asalnya jadi,
Yang bergantung tiada bertajalli.
5 sya’ban 1436H.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar